Monday, 1 September 2008

Ramadhan

Ramadhan! Ramadhan! Tak sabar aku menantikan kedatanganmu. Saban ketika aku mengharapkan agar Allah beri aku kesempatan untuk bertemu kau semula dalam keadaan siap sedia. Dan wajarkah kiranya aku bergembira bilamana beberapa hari lagi bakal berkunjungnya kau sedangkan aku tak pasti aku masih kekal bernafas tika itu? Hanya doa yang mampu kupanjatkan agar Allah temukan kita.

Waktu di sekolah dulu, Ramadhan sangat aku nantikan. Tibanya bulan puasa bererti kami tak perlu berlari dan beratur menuju dewan makan lepas tamat sekolah, usai solat Zuhur maka bersedia untuk kelas persediaan petang. Dan bila hampir tiba waktu berbuka barulah semua bersesak-sesak beratur di pintu dewan makan. Yang pasti aku akan jadi orang pertama atau kedua keluar dari dewan makan dan berlari ke surau atau padang untuk memastikan mendapat tempat di saf pertama untuk solat Terawih. Tiada istilah ponteng Terawih kerana nikmatnya menunaikan solat Terawih itu tak terucap oleh kata-kata. Bersolat di padang dengan bertemankan tiupan bayu malam dan bersuluhkan bulan dan bintang cukup merangsang kekhusyukan. (Pada usia beban fikiran tidak seberat mana). Terasa kerdilnya aku di bumi ciptaan Allah.

No comments: