Wednesday, 18 June 2008

Ayah

Hari ni 18.06.2008 genap 11 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Kepergian ayah sesungguhnya memang tidak diduga. Tanggal 2 Jun 1997, ayah dan mama mengucapkan Selamat Tinggal pada kami sebelum berangkat ke Bukit Tinggi, Indonesia untuk bercuti selepas beberapa lama ayah terlantar sakit di C.C.U. Mulanya ayah nak ke Thailand tapi ntah kenapa fikiran ayah berubah maka berubahlah destinasi percutian mereka. Beberapa hari di sana ayah jatuh sakit semula dan ditempatkan di Hospital Ahmad Mokhtar, Bukit Tinggi. Waktu tu cuma mama saja yang menemankan ayah jadi aku ambik keputusan suruh Ani dan Achik ke sana menemani mama. Maklumlah hospital di sana tak macam hospital di Malaysia, walaupun berada dalam wad C.C.U pesakit perlu membeli ubat sendiri di farmasi luar. Pernah ubat kehabisan pada waktu malam dan mama terpaksa keluar mencari farmasi untuk membeli ubat. Lantaran itulah aku usahakan agar Ani dan Achik menemani mama di sana. Kenapa bukan aku saja yang ke sana??? Waktu tu aku sedang mengandungkan Afiqah 5 bulan dan Luqman pulak baru berusia 8 bulan. Memikirkan kesukaran pengangkutan di Indonesia menyebabkan abang tak berani melepaskan aku ke sana. Apabila sakit ayah sedikit kambuh, mama cuba usahakan untuk bawa ayah pulang tapi banyak pula halangannnya. Dan akhirnya pada 18 Jun ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kami ambik keputusan menyemadikan jenazah ayah juga di sana bilamana proses membawa pulang jenazah sedikit rumit. Alhamdulillah jenazah ayah selamat di sembahyangkan di Masjid Raya Bukit Tinggi selepas solat Jumaat oleh kebanyakannya pelajar2 yang menjurusi bidang agama di sekitar kawasan itu. Jenazah ayah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan, Gulai Banchah. Sesungguhnya mati itu pasti, bila sampai masa dan ketikanya, tak kira di mana jua kita berada , malaikat taat menjalankan tugasnya. Panggilan tanah di sana begitu kuat sekali hinggakan berbagai-bagai halangan dilalui untuk tidak memungkinkan jenazah ayah kembali ke bumi Malaysia. Bersemadilah ayah di sana ....... Ya Allah, rahmatilah ayah, tempatkanlah dia di kalangan insan beriman dan letaklah dia di kalangan insan pilihanMU. Amin

No comments: